http://tinyurl.com/znjrrmj
Punca graduan menganggur
KITA pernah mendengar kisah seorang graduan jurusan ekonomi menjual burger dan goreng pisang di pasar malam sebagai sumber pendapatan.
Manakala seorang graduan dalam bidang sastera pula terpaksa bekerja sebagai buruh kasar di sebuah kilang papan juga untuk tujuan yang sama.
Dalam pada itu seorang graduan lepasan universiti luar negara dalam bidang kejuruteraan juga masih lagi tidak mempunyai pekerjaan hingga sekarang. Entah berapa ramai lagi yang terpaksa melakukan kerja-kerja kampung atau cuma makan tidur sahaja sementara menunggu peluang pekerjaan yang lebib baik.
Apa yang dipaparkan ini ternyata sesuatu yang menyalahi kebiasaan. Akan tetapi begitulah senario yang mewarnai kehidupan graduan sekarang ekoran kegawatan ekonomi yang melanda negara kita sejak pertengahan 1997 lalu.
Bagaimanapun, angka yang dinyatakan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr Fong Chan Onn iaitu sebanyak 39,000 graduan masih menganggur sudah tentu ia cukup merisaukan kita.
Keadaan ini mungkin tidak berlaku sepuluh atau dua puluh tahun yang lalu, di mana peluang pekerjaan menunggu mereka. Pada masa itu, graduan hanya perlu berehat satu atau dua bulan sahaja sebelum mereka mendapat kerja yang sesuai kerana bilangan yang lulus dari universiti amat terhad di samping peluang pekerjaan yang terbuka luas.
Keadaan sekarang mungkin sudah jauh berbeza kerana jumlah graduan yang lulus dari universiti terus bertambah setiap tahun ditambah pula dengan percambahan bilangan universiti awam dan juga swasta.
Secara logiknya, sudah tentu persaingan antara graduan-graduan pencari kerja akan semakin sengit sedangkan dalam keadaan sekarang peluang pekerjaan begitu terbatas lebih-lebih lagi di tengah pemulihan ekonomi sekarang.
Tentunya kita masih ingat bahawa fenomena graduan menganggur ini pernah berlaku ketika negara dilanda kegawatan ekonomi pada pertengahan 80-an lalu, di mana 4,000 graduan terpaksa melakukan apa sahaja untuk mendapat rezeki yang halal.
Namun, dengan beberapa langkah yang perkenalkan oleh kerajaan di samping sikap graduan sendiri yang tidak terlalu memilih kerja masalah ini akhirnya berjaya diselesaikan. Ketika itu, peluang pekerjaan untuk graduan memang terhad ekoran langkah kerajaan khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membekukan pengambilan pekerja-pekerja baru termasuk daripada kalangan graduan.
Hal yang sama turut dilakukan oleh sektor swasta kerana terjejas teruk akibat kelembapan ekonomi negara. Apa yang pasti, selepas negara bebas daripada kemelut kebejatan ekonomi, peluang pekerjaan terbuka luas, syarikat-syarikat mula bernafas semula dan berupaya memberikan pekerjaan kepada sebahagian besar graduan yang menganggur. Nampaknya, setelah lebih kurang 15 tahun berlalu, masalah ini berlaku lagi juga akibat tempias kegawatan ekonomi yang mula menyerang negara ini sejak pertengahan 1997 lalu.
Walaupun, sudah nampak tanda-tanda ke arah pemulihan dan bakal memberi sinar kepada setiap pihak yang terbabit, khususnya kepada graduan-graduan yang menganggur, namun jumlah 39,000 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan itu bukanlah satu jumlah yang kecil dan boleh ditampung dan diserap sekelip mata sama ada sektor awam mahupun sektor swasta.
Justeru, kita perlu ingat bahawa golongan pemburu kerja bukan hanya daripada kalangan para siswazah malah melibatkan juga mereka daripada lepasan sekolah, kolej dan sebagainya. Sebenarnya, bukan soal kegawatan ekonomi yang harus kita jadikan sebab utama kepada fenomena graduan menganggur ini. Ia mungkin antara faktor penyebab di samping faktor sikap graduan yang menganggur itu sendiri.
Para graduan perlu lebih realistik dan menerima hakikat bahawa memasuki universiti dan lulus dengan segulung ijazah bukanlah pasport bagi mendapatkan pekerjaan yang baik dan setaraf dengan kelulusan mereka apabila keluar nanti. Mereka seharusnya mengubah sikap selama ini yang terlalu bergantung kepada pekerjaan di sektor awam ataupun di sektor swasta semata-mata selepas tamat pengajian mereka di universiti.
Malah tanggapan mereka terhadap apa yang dipanggil kerja juga perlu diubah. Selama ini pekerjaan bagi kebanyakan kita ialah kerja makan gaji sama ada dengan swasta atau awam. Kebanyakan daripada graduan yang ada pada hari ini nampaknya masih lagi menaruh harapan yang tinggi untuk menjadi pegawai-pegawai dan eksekutif tinggi setelah tamat pengajian. Amat sedikit di kalangan mereka yang sanggup dan ingin mempergunakan ilmu yang diperoleh untuk bekerja sendiri.
Anggapan mereka yang masuk ke universiti dan juga harapan ibu bapa mereka bahawa peluang pekerjaan dengan kerajaan akan menunggu mereka sebaik-baik sahaja mereka tamat pengajian, sebaik-baiknya dibuang jauh-jauh dalam keadaan sekarang.
Sudah sampai masanya sekarang untuk kita menanam sikap bahawa peluang untuk belajar di universiti adalah untuk menimba ilmu pengetahuan dengan cara yang sistematik dan seterusnya menggunakan ilmu yang mereka peroleh untuk menentukan dan meneroka bidang pekerjaan tanpa mengharapkan bantuan mana-mana pihak untuk memberikan mereka pekerjaan.
Kita tentunya biasa mendengar ada graduan lulusan bidang pentadbiran perniagaan yang tidak tahu atau enggan berniaga sendiri dan graduan bidang pertanian yang tidak cenderung untuk bertani malah lebih berminat untuk menunggu peluang bekerja dengan kerajaan atau pun lebih rela untuk terus menganggur!
Keadaan ini mungkin tidak berlaku sekiranya graduan memiliki sikap ingin berdikari untuk bekerja sendiri dengan mengeksploitasikan ilmu yang mereka pelajari sewaktu menuntut di universiti dahulu.
Mengapakah keadaan ini boleh berlaku? Mengapa 39,000 graduan itu perlu menganggur? Apakah universiti sudah gagal melaksanakan tugasnya sehingga bertanggungjawab melahirkan graduan yang berilmu tetapi kurang semangat berdikari dan tidak kreatif untuk mencari jalan mereka masing-masing untuk kemajuan diri sendiri?
Di satu segi, kesalahan mungkin boleh kita letakkan kepada pihak universiti yang bertanggungjawab menelurkan graduan-graduan sedemikian itu selama ini. Kecenderungan universiti untuk terlalu akademik dalam pendekatan mereka selama ini barangkali perlu dinilai semula.
Bagi memenuhi hasrat untuk melahirkan graduan yang mampu berdikari dan meneroka bidang pekerjaan mereka sendiri, adalah wajar sekiranya seluruh program pengajian tinggi di negara ini dikaji semula supaya dalam pengajaran lebih banyak tumpuan diberikan kepada mempersiapkan diri mereka untuk berpijak di bumi nyata.
Selain daripada itu, adalah lebih baik sekiranya penuntut universiti digalakkan untuk memilih kursus yang lebih bersifat profesional untuk memenuhi keperluan pasaran pekerjaan sekarang. Peluang pekerjaan dalam bidang-bidang seperti komputer, kejuruteraan dan teknologi maklumat masih lagi terbuka luas kerana menurut kajian Jabatan Tenaga Rakyat, kita masih kekurangan tenaga kerja dalam bidang ini.
Apa yang berlaku sekarang graduan menganggur kerana wujudnya oversupply dalam bidang-bidang yang tidak diperlukan dalam pasaran pekerjaan. Dalam era teknologi maklumat sekarang graduan-graduan lulusan sastera dan malahan sains tulen dianggap bukan lagi merupakan satu keperluan yang mendesak.
Justeru, bagi mengatasi masalah lebih penawaran (oversupply) ini adalah lebih baik perancangan yang lebih teliti dibuat oleh pihak universiti dan agensi-agensi kerajaan seperti Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan MAMPU dalam membuat peraturan menambah atau mengurangkan pengambilan pelajar bagi sesuatu kursus tertentu agar selaras dengan keperluan tenaga kerja semasa.
Ini bermakna corak pendidikan tinggi di negara ini perlu bersifat functional iaitu untuk mengisi keperluan negara. Dengan bersifat demikian, universiti tempatan sama ada IPTA atau pun IPTS akan hanya melatih dan mendidik para pelajarnya dalam bidang yang bersesuaian sebagai persediaan memasuki pasaran kerja bila tamat pengajian.
Di satu segi pula, adalah tidak adil untuk kita meletakkan beban masalah pengangguran di kalangan graduan ini ke atas pihak universiti semata-mata.
Janganlah pula kita sampai mempertikaikan kewibawaan universiti di negara ini yang telah melahirkan graduan yang tidak laku di pasaran pekerjaan.
Sebenarnya fenomena graduan menganggur yang kita hadapi sekarang tidak seharusnya dilihat sebagai mencerminkan bahawa peranan universiti di negara ini untuk meningkatkan mobiliti sosial sebahagian besar masyarakat khususnya yang di luar bandar sudah mulai merosot.
Sebaliknya, pemikiran konservatif sebahagian besar masyarakat kita yang selalu mengaitkan pendidikan universiti dengan jaminan pekerjaan yang baik lagi dihormati itulah yang perlu dikikis sekarang.
Percubaan untuk mengaitkan isu pengangguran di kalangan graduan dengan peranan universiti di negara ini seharusnya tidak berlaku kerana kedua-duanya memang tidak berkait langsung. Apa yang pastinya, universiti akan terus menjalankan tanggungjawab sosialnya dengan memberi peluang yang seluas-luasnya kepada setiap orang untuk mendapatkan pendidikan tinggi. Soal pekerjaan selepas tamat daripada pengajian adalah bergantung kepada kebijaksanaan graduan itu sendiri untuk menentukannya.
Sekurang-kurangnya dengan melihat apa yang berlaku sekarang, seolah-olah memberi gambaran kepada kita bahawa bilangan yang mampu memiliki pendidikan tinggi semakin meningkat hasil daripada peranan universiti selama ini. Soal adanya graduan yang gagal mendapatkan pekerjaan yang sesuai tentunya menjadi perkara nombor dua sekarang kerana apa yang lebih penting negara kita sekarang sudah mempunyai ramai ‘orang pandai’.
Walau apa pun alasan yang diberikan, khususnya yang mendesak agar universiti melakukan perubahan dalam corak pendidikan, namun apa yang lebih penting lagi ialah sikap graduan itu sendiri sepatutnya diubah. Sikap graduan yang gemar bergantung selama ini sebenarnya sudah tidak lagi relevan dengan situasi sekarang.
Mereka tidak seharusnya menjadi pemburu kerja, sebaliknya perlu menjadi pencipta kerja atau cuba bekerja sendiri sekurang-kurangnya dalam waktu pemulihan kegawatan sekarang. Seperti kata Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad dalam reaksinya terhadap masalah ini, para graduan merupakan golongan istimewa yang boleh menjana pekerjaan sendiri.
Ilmu yang mereka peroleh di universiti sebenarnya merupakan aset yang amat bernilai dan boleh digunakan untuk meneroka kerjaya mereka sendiri.
Kalaupun latihan dan corak pengetahuan yang mereka terima di universiti tidak menyediakan mereka untuk mencipta kerja sendiri, ia bukanlah alasan lagi sekarang kerana peluang untuk memperoleh kemahiran ini memang sentiasa ada. Contohnya, Kementerian Sumber Manusia melalui Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan juga Pusat Latihan Teknologi Tinggi ditubuhkan untuk memberi latihan kepada mereka yang berminat bagi melengkapkan diri mereka dengan keperluan tenaga kerja sekarang.
Mara juga melalui Institut Usahawan Bumiputera (IUB) begitu juga setengah-setengah kerajaan negeri sentiasa memberi peluang kepada graduan untuk mengikuti latihan supaya mereka boleh bekerja dan memulakan perniagaan mereka sendiri walaupun di peringkat kecil-kecilan. Diharapkan dengan adanya usahawan-usahawan yang berpendidikan tinggi nanti, kaum bumiputera akan berupaya menyaingi kaum lain dalam bidang perniagaan yang lebih mencabar.
Sesungguhnya, masa depan bagi graduan tidak gelap sekiranya mereka bijak membuat pengubahsuaian yang dikehendaki sesuai dengan perubahan struktur dalam ekonomi negara sekarang. Selagi para graduan masih lagi menganggap diri mereka ‘anak emas’ dalam masyarakat selagi itulah masalah ini tidak akan selesai walau apa pun langkah dan usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan atau lain-lain pihak untuk membendungnya.
Sewajarnyalah dalam menghadapi masalah ini, bukan sahaja graduan perlu mengubah sikap mereka selama ini, tetapi ibu bapa dan juga masyarakat seluruhnya perlu menerima kenyataan bahawa tidak salah bagi graduan lulusan pertanian untuk bergelumang dengan lumpur dan melakukan kerja-kerja yang selama ini tidak pernah pun termimpi untuk mereka lakukan.
Soalnya sekarang, berapa ramaikah graduan dan selama manakah pula mereka sanggup bertahan dengan melakukan kerja-kerja yang tidak setimpal dengan kelulusan universiti mereka, lebih-lebih lagi apabila mereka memikirkan betapa sia-sianya ilmu yang dipelajari selama tiga atau empat tahun di universiti dulu?
* AHMAD KAMIL MOHAMED, Pensyarah Jabatan Bahasa, UiTM Kampus Segamat, Johor
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0424&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz2v6menbSm
© Utusan Melayu (M) Bhd