Monday, 24 October 2016

Siswazah menganggur tetap 60,000 orang

Siswazah menganggur tetap 60,000 orang
Khamis Ogos 10, 2006
http://tinyurl.com/znjrrmj

PUTRAJAYA:  Jumlah siswazah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang menganggur di negara ini kekal dalam lingkungan 60,000 orang, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed.

Beliau berkata angka itu mewakili 40 peratus daripada jumlah siswazah yang sekian lama menganggur, termasuk mereka yang baru menghabiskan sesi pengajian bulan lepas.

Katanya kumpulan siswazah yang menganggur itu terdiri daripada golongan yang tidak ingin bekerja, ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan sememangnya tidak mendapat pekerjaan.

Jumlah siswazah yang menganggur ini bagaimanapun tidak tetap disebabkan perubahan yang cepat dan dinamik  dalam pasaran carian kerja, kata Mustapa selepas melancarkan Sistem Kajian Pengesanan Siswazah Institusi Pengajian Tinggi Secara Dalam Talian di sini hari ini.

Sistem itu yang dibangunkan oleh pensyarah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Teknologi Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pengurusan IPT kementerian bertujuan melihat destinasi sektor pekerjaan pertama siswazah serta meninjau tahap “employability” dan “marketability” siswazah.

Selain itu, ia juga bagi mendapatkan maklum balas, pandangan serta persepsi siswazah tentang keberkesanan program akademik dan sistem penyampaian di IPT.

Terdahulu dalam ucapannya. Mustapa berkata Unit Perancang Ekonomi (UPE) sedang menyelaras angka siswazah menganggur yang diperoleh daripada tiga sumber utama dan rasmi  Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Statistik dan Kementerian Sumber Manusia.

“Saya telahpun mengadakan pertemuan dengan pihak UPE dan membentangkan angka-angka berkenaan dan sekarang terpulanglah kepada pihak itu untuk membuat penyelarasan supaya satu angka yang lebih tepat dapat diperoleh dan dihebahkan,” katanya.

Beliau berkata mulai 2003, Kementerian Pelajaran pada masa itu diminta menyelaras dan meneruskan kajian yang sebelumnya dikendalikan oleh UPE.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Masalah Siswazah Menganggur yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mesyuaratnya pertengahan bulan lepas memutuskan supaya tugas penyelarasan angka siswazah menganggur yang diperoleh daripada tiga pihak berkenaan dikembalikan kepada UPE, kata Mustapa.

Mengenai sistem kajian pengesanan siswazah IPT secara dalam talian, beliau berkata kajian itu dimulakan di UiTM membabitkan 10,000 pelajarnya.

Keputusan kajian, katanya, dibuat menggunakan aplikasi komputer yang membolehkan hasilnya diketahui dalam masa dua atau tiga hari berbanding kajian secara manual yang dibuat tiga tahun lepas dengan keputusan diperoleh dalam masa dua minggu.

Beliau berkata sehingga kini kadar terimaan maklum balas di kalangan siswazah terhadap kajian itu melebihi 90 peratus membabitkan siswazah dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, UiTM, Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia dan Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia.

Sistem kajian yang dibangunkan dengan kos RM100,000 itu mendapatkan sampel kajian di kalangan siswazah pada hari konvokesyen universiti dan ia diperbaharui setiap tiga bulan, kata Mustapa. BERNAMA

SUMBER

No comments:

Post a Comment

Daftar Sekarang