Monday 24 October 2016

Tahap hutang isi rumah tinggi masih boleh diurus – Moody’s

Tahap hutang isi rumah tinggi masih boleh diurus – Moody’s
KUALA LUMPUR: Tahap hutang isi rumah yang tinggi di beberapa negara Asia Tenggara menimbulkan risiko kepada pertumbuhan penggunaan swasta dan kualiti aset bank, tetapi keadaan itu masih boleh diuruskan, kata Moody’s Investors Service.

“Ketika peningkatan hutang isi rumah memberi tekanan kepada pembiayaan semula ke atas gadai janji dan kredit pengguna secara beransur-ansur semakin ketat, sistem bank di Asia Tenggara terus kukuh dan dapat menangani kemerosotan aset yang besar,” kata Naib Presiden dan Penganalisis Penyelidikan Kanan, Rahul Ghosh.

“Selain itu, jika tekanan terbabit mula menjejaskan ekonomi yang lebih luas, kerajaan serantau boleh melaksanakan pelbagai dasar kitaran balas bagi menyokong permintaan domestik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat dijangka menaikkan kadar faedah pada 2015, aliran modal ke Asia Tenggara akan menjadi sederhana, kata Moody’s.

Pertumbuhan pesat dalam kredit pengguna membawa kepada penggandaan kredit isi rumah yang tinggi.

Malaysia dan Thailand paling mudah terjejas kepada peningkatan kadar faedah disebabkan hutang keseluruhan yang tinggi, katanya.

Moody’s berkata, pada akhir 2013, hutang isi rumah sebagai sebahagian daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah tinggi untuk kedua-dua negara, iaitu 87 peratus untuk Malaysia dan 82 peratus untuk Thailand.

Di samping itu, hutang isi rumah yang tinggi berbanding tahap pendapatan di kedua-dua negara, menunjukkan keupayaan menjelaskan hutang di negara terbabit dijangka bermasalah kerana keadaan kredit menjadi kurang menggalakkan, kata firma penyelidikan berkenaan.

“Bagaimanapun, sistem perbankan serantau menunjukkan pertahanan dalaman yang kukuh; tahap permodalan yang tinggi, keuntungan teguh dan pergantungan yang rendah ke atas pembiayaan borong akan melindungi bank di Asia Tenggara ketika ekonomi berubah,” tambahnya. – BERNAMA

SUMBER

No comments:

Post a Comment

Daftar Sekarang